BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2024 dijangka memberi pendapatan lebih tinggi kepada peniaga festival itu berbanding tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap peniaga secara purata memperoleh lebih kurang RM30,000 pendapatan kasar sepanjang festival itu tahun lalu.
“Pada tahun ini pendapatan purata (peniaga) dijangka meningkat lebih lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee di perasmian BIKF 2024 anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang disertai 28 negara, di sini, hari ini.
Selain itu, Abdul Karim berkata, penganjuran BIKF juga termaktub dalam Pelan Strategik BDA 2024-2030 bertemakan “Rendah Hab Perindustrian Karbon 2030” dengan mengadakan beberapa kempen.
“Kempen seperti mengurangkan penggunaan plastik yang mana pengunjung ke BIKF digalakkan untuk membawa bekas makanan dan minuman sendiri untuk diisi semula,” katanya.
Katanya selain itu, BDA mengadakan Kempen Penjualan Minyak Masak Terpakai, Kempen Anti Kutu Sampah dan Kempen Kitar Semula (3R) dan Program Pembersihan Mega Hari Cuci Malaysia Sempena World Clean Up Day 2024.