30 pasangan pengantin sertai Program Akad Semarak Ummah

KUCHING: Program Akad Semarak Ummah menyaksikan seramai 30 pasangan pengantin mengadakan upacara akad nikah beramai-ramai di Masjid Darul Hana, di sini, hari ini.

Program bermula dengan pasangan pengantin terbabit disambut di hadapan masjid yang dipenuhi keluarga mereka masing-masing diiringi paluan kompang dan pesilat cilik.

Mereka juga disambut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri bersama Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman yang menjadi tetamu kehormat program itu.

Upacara akad nikah kesemua 30 pasangan terbabit yang secara serentak beramai-ramai kemudian telah berjalan dengan lancar.

Nancy selepas itu menyerahkan sijil perkahwinan kepada setiap pasangan pengantin menyertai program itu.