Kadar kesuburan terkini seramai 1.6 orang anak bagi seorang wanita

KUCHING: Kadar kesuburan penduduk negara telah menurun mendadak dengan nisbahnya terkini seramai 1.6 orang anak bagi seorang wanita pada 2022.

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata ini berbanding seramai 2.1 orang anak pada 2010, 3.0 orang anak pada 2000, 4.0 orang anak pada 1980 dan 6.7 orang anak pada 1957.

Katanya penguncupan penduduk akan berlaku jika kadar kesuburan terbabit terus menurun dengan kadar semasa dan tiada intervensi bagi menangani situasi ini.

“Penduduk negara ini dijangka mencapai jumlah maksimum seramai 46 juta orang pada 2071 sebelum mengalami penguncupan penduduk tahun berikutnya,”katanya di upacara perasmian Akad Semarak Ummah di Masjid Darul Hana, Petra Jaya di sini, hari ini.

Nancy berkata penurunan kadar kesuburan ini sekaligus juga akan mempercepatkan Malaysia menjadi negara tua pada 2044 apabila 15 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini berumur 60 tahun dan keatas.