LINGGA: Pembinaan Dewan Pembangunan Belia Lingga bernilai RM2.3 juta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga akan dilaksanakan tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata dewan tiga gelanggang itu akan dibina menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024.
“Saya berharap dengan siapnya projek ini nanti, ia dapat diguna belia serta penduduk setempat di kawasan ini untuk penganjuran acara sukan seperti sukan, sepak takraw, badminton dan sebagainya,” katanya pada Majlis Perasmian Regata Lingga 2023 di Astaka Tebingan Sungai Lingga di sini.
Majlis itu telah disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Dayang Noorazah berkata, selain itu, pembinaan terminal jeti turut dibina berhampiran pekan Lingga oleh Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak dan penyambungan Tebingan Batang Lupar bermula dari Kampung Hulu Sri Aman hingga Kampung Hilir Sri Aman.
Sementara itu, Mohamad Asfia berkata Parlimen Batang Lupar yang terdiri dari DUN Lingga, Sebuyau dan Beting Maro dipercayai akan memudahkan dibangunkan dengan kerjasama baik wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiga DUN terbabit.
Katanya, kerjasama dan komunikasi yang baik di antara mereka boleh dibentuk berbanding kalangan yang berbeza parti.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Shafizan Kepli, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman dan Pengerusi Penganjur Regata Lingga, Frank Lani.
