Spaoh bakal nikmati prasarana baharu tahun depan

SPAOH: Daerah kecil Spaoh bakal menyaksikan beberapa projek pembangunan besar akan dilaksanakan tahun depan.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ini termasuk 10 unit lot kedai, padang futsal, kawasan medan selera baharu dan lebih banyak jalan ladang yang ditambah baik.

Katanya, projek-projek ini adalah antara yang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Mengenai lot kedai baharu, beliau berkata projek itu akan diusahakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

“Ini akan dibina di sekitar Jambatan Spaoh bernilai RM30 juta yang sedang dalam peringkat pembinaan.

“Kita mahu mempunyai lebih banyak kemudahan komersial dalam usaha mengembangkan bandar Spaoh.

“Kita mahu lebih ramai pengunjung datang supaya kami dapat meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya mendedahkan perkara itu ketika merasmikan Karnival Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh, Betong hari ini.

Mengenai padang futsal, beliau berkata sebuah tapak dikenal pasti untuk projek bernilai RM450,000.

Bagi menampung lebih ramai pengunjung, kawasan medan selera baharu bernilai RM5 juta akan dibina berhampiran pasar baharu Spaoh.

Sementara itu, Uggah menambah sejumlah RM30 juta akan dibelanjakan untuk membina baharu atau menaik taraf jalan ladang sedia ada.

Dedahnya, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak atau SALCRA akan menjalankan projek ternakan lembu di situ.

“Kita mempunyai RM286 juta Bebuling STOLport untuk membantu dalam pemasaran ke pasaran luar. Pembinaan STOLPORT ini dijangka siap tahun depan,” katanya.