STEM: Peluang kerjaya cerah

KOTA SAMARAHAN: Usaha membangunkan kemudahan pendidikan termasuk sekolah Cina di Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha memartabatkan pendidikan di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia susulan pendidikan memainkan peranan penting dalam pembinaan bangsa dan negara.

“Disebabkan itu, sebanyak RM12 juta diperuntukkan kepada sekolah Cina tahun ini sama seperti tahun lalu agar generasi akan datang mampu menimba ilmu sekali gus memberi manfaat kepada Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas melakukan tinjauan di tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kai Nang di sini, hari ini.

Tambah Dr Sim lagi, Kerajaan Sarawak juga giat memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi permintaan peluang kerjaya pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman berterusan Covid-19.

Katanya, meskipun sekatan telah lama dilonggarkan setelah memasuki fasa endemik, sikap tidak pedul dan tidak mengamalkan amalan pencegahan boleh menyebabkan jangkitan virus menular kembali.

“Semua masyarakat perlu mempunyai sikap tanggungjawab misalnya mengambil suntikan vaksin bagi melindungi diri. Malah kerajaan telah menyediakan vaksin Paxlovid secara percuma untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, SJKC Kai Nang dijangka beroperasi pada Mac 2024.