KUALA LUMPUR: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menghadiri Mesyuarat Ke-26 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-26) antara Malaysia dan Brunei, di sini, semalam.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof mempengerusikan bersama mesyuarat itu bagi membincangkan isu dua hala melibatkan perjanjian serta persefahaman dimeterai kedua-dua negara.
Antara fokus mesyuarat ialah memperkukuh kerjasama ekonomi dan pembangunan rentas sempadan untuk memastikan faedah bersama kepada rakyat khususnya di kawasan bersempadan Sarawak dan Brunei.
Awang Tengah dalam mesyuarat tersebut turut menekankan kepentingan hubungan erat Sarawak dan Brunei .
Ini dari segi pelaburan dan pembangunan wilayah Miri-Limbang-Lawas serta pelancongan di kawasan utara Sarawak.
Selain ini, mesyuarat juga merupakan sebahagian daripada persediaan awal menjelang Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-26 antara Malaysia dan Brunei dijadualkan bulan hadapan, yang akan dihoskan oleh Malaysia.
