SEBUYAU: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi meneruskan aktiviti kebajikann sempena Ramadan dengan memberi sumbangan kepada 70 golongan asnaf dan kanak-kanak dalam Program Santunan Ramadan.
Program diadakan di Masjid Al-Kasyiin Kampung Segali di sini hari ini bertujuan meringankan beban golongan memerlukan sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba dengan berkongsi rezeki.
Pada program tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan duit raya kepada 40 golongan asnaf dan 30 kanak-kanak untuk berkongsi kegembiraan menjelang sambutan Aidilfitri.
Selain menyampaikan sumbangan, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk kampung serta menzahirkan harapan agar program seperti ini dapat terus memperkukuh semangat kebersamaan dan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Turut hadir Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau Asli Yahya dan Ketua Masyarakat Kampung Segali Abu Bakar Abdul Wahab.
