Agenda digital nadi ekonomi Sarawak -Premier

KUCHING: PremierSarawak kini melangkah lebih jauh dalam agenda transformasi digital apabila kadar pendigitalan perkhidmatan kerajaan negeri melepasi 56 peratus, menandakan kemajuan pesat ke arah capaian digital sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian itu menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri melaksanakan inisiatif digital secara menyeluruh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 Sarawak (2026–2030).

Beliau berkata, usaha pendigitalan bukan sekadar untuk memodenkan sistem pentadbiran, tetapi turut melibatkan perubahan cara kerja dan kehidupan masyarakat agar lebih efisien, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

“Kerajaan negeri tidak hanya merancang, tetapi menunaikan janji dengan hasil nyata. Kita bermula dengan membina asas kesalinghubungan dan kini liputan internet di kawasan berpenduduk sudah melebihi 90 peratus,” katanya semasa berucap pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS 2025) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Menurut beliau, kejayaan ini dicapai melalui pembinaan lebih 600 menara SMART, peluasan rangkaian gentian optik, pelaksanaan 5G serta inisiatif MySRBN di luar bandar, manakala jumlah keseluruhan menara telekomunikasi dijangka mencecah hampir 7,000 menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Abang Johari turut memaklumkan, agenda digital negeri turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi nadi ekonomi Sarawak.

Melalui program seperti Go Digital, SME Digitise dan Sarawak Digital Mall, lebih 15,000 PMKS kini telah melaksanakan pendigitalan operasi perniagaan mereka, katanya.

uu