KOTA SAMARAHAN: Sebuah ladang di Kampung Tanjung Tuang menjadi contoh bagaimana sektor pertanian mampu berkembang menjadi pemangkin ekonomi.
Ia apabila konsep agro-pelancongan digabungkan dengan pendekatan pertanian bersepadu.
Sabaki Farm dilihat berjaya mengangkat potensi kawasan luar bandar melalui gabungan aktiviti pertanian dan tarikan pelancongan, sekali gus membuka ruang pendapatan baharu kepada penduduk.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, keunikan ladang tersebut terletak pada pendekatan menyeluruh yang menggabungkan penanaman orkid bersama aktiviti pertanian lain secara tersusun dan mampan.
“Keindahan pelbagai spesies orkid yang ditanam, termasuk teknik penanaman kreatif seperti di kawasan terbuka dan di celah tanaman kelapa sawit, mencerminkan daya inovasi pengusaha tempatan dalam memanfaatkan sumber sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke ladang berkenaan, semalam.
Tambah Ahli Parlimen Samarahan itu, pendekatan ini membuktikan sektor agro bukan sahaja berpotensi menjana hasil pertanian, malah mampu berkembang sebagai produk pelancongan yang memberi nilai tambah kepada ekonomi komuniti.
Katanya, Sabaki Farm dilihat berpotensi untuk berkembang sebagai destinasi agro-pelancongan yang mampu menarik kehadiran pelawat, selain mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat.
