KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Memetik laporan Bernama, Ahli Parlimen Igan itu antara keseluruhan 302 individu yang dikurniakan baginda Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.
Seramai 41 individu dikurniakan Bintang KMN termasuk Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur-ul Afida Kamaludin, Ahli Dewan Negara, Senator Datin Ros Suryati Alang dan Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), NurulHuda Abd Aziz.
Di samping itu seramai 76 penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN), 155 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) serta seorang penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) iaitu DSP Mohamad Hasnal Jamil.
Manakala, sembilan individu menerima Darjah Johan Mangku Negara (JMN), 19 penerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) dan seorang penerima Darjah Johan Setia Diraja (JSD).