SINGAPURA: Air Borneo, syarikat penerbangan milik Sarawak yan g dijadual mula beroperasi tahun depan merancang membuka laluan penerbangan terus ke Singapura.
Langkah itu untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan rantaian perdagangan, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut merupakan strategi merancakkan sektor pelancongan, perkhidmatan logistik, serta perdagangan rentas sempadan, khususnya menerusi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS).
“Sebab itu kita ada STATOS di sini, dan kita berharap Singapura akan memberi hak pendaratan kepada Air Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sarawak Mega Fair 2025 di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata tumpuan Air Borneo bukan sahaja kepada perkhidmatan penumpang, tetapi juga pengangkutan kargo sejuk beku dari Sarawak ke Singapura.
Perkhidmatan tersebut akan menggunakan pesawat ATR-72 seta diubah suai jadi pesawat kargo dengan sistem penyejukan.
“Contohnya, hasil laut dan buah-buahan segar boleh diterbangkan dari Sarawak seawal jam 6 pagi dan sampai ke Singapura sebelum 7.30 pagi, terus masuk ke pasaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan Sarawak menyediakan pelbagai insentif pelaburan termasuk harga tanah kompetitif, kadar premium rendah serta konsesi tarif tenaga, menjadikan Bumi Kenyalang antara lokasi paling menarik untuk pelabur asing, termasuk dari Singapura.
Beliau juga mengulangi komitmen Sarawak membekalkan tenaga hijau ke Singapura menjelang 2032, selaras kerjasama tiga hala bersama kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk pembinaan kabel dasar laut.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Pengerusi Lembaga Pengarah STATOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.