KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo memerlukan masa bagi memulakan penerbangan ke Semenanjung dan destinasi besar lain selepas bakal dilancarkan secara rasmi Jumaat ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata AirBorneo akan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan udara di Sarawak dan merupakan sambungan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang dijalan oleh MASWings sebelum ini serta ketika ini masih menggunakan pesawat kecil.
Katanya, syarikat penerbangan itu dijangka memulakan penerbangan ke destinasi lain termasuk ke Semenanjung Malaysia dan rantau berdekatan selepas Julai 2026.
“Ia perlu diberi masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk kita dapat melihat destinasi-destinasi yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi raptai Sambutan Ambang Tahun 2026 di Tebingan Sungai Kuching, di sini, malam tadi.
Karim berkata, dengan bandar raya Kuching juga dipilih salah satu venue pelancaran bagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, maka peranan AirBorneo amat bertepatan dan penting dalam merancakkan sektor pelancongan Sarawak.
