Anggota SCS perlu bekerjasama pacu Sarawak dengan idea inovatif, kompetitif

BANDAR SERI BEGAWAN: Anggota Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) disaran terus bekerjasama dalam menghadapi cabaran dan memastikan Sarawak terus berkembang dengan idea yang inovatif dan kompetitif.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan SCS harus mempunyai satu pemikiran yang seiring.

Katanya, anggota SCS perlu bersatu dalam satu platform menggunakan teknologi dengan pemikiran yang sama.

“Kami dalam kabinet akan berusaha memodenkan sistem supaya kita tiada masalah dalam menghadapi cabaran mendatang. Saya juga percaya strategi kita dilihat oleh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian melakukan penutupan program One Team Retreat (OTR) 2024 di Brunei Darussalam hari ini.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi beberapa perkara penting berhubung pentadbiran Sarawak termasuk berkaitan cabaran global yang dihadapi dalam sistem pentadbiran, kepentingan pendekatan sistematik dalam penyampaian perkhidmatan serta penambahbaikan berterusan menjelang 2030.

Terdahulu, Premier Sarawak mendengar laporan dan pandangan yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Laporan berkenaan berdasarkan hasil daripada lima kertas kerja kumpulan yang telah dibentangkan pada hari pertama program itu diadakan.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai dan Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin.
Turut hadir Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Datu Buckland Bangik dan Datu Hii Chang Kee serta ketua-ketua jabatan yang lain.

Seramai 125 ketua jabatan dari pelbagai agensi dan badan berkanun di Sarawak menyertai Program OTR 2024 yang diadakan selama tiga hari sejak Selasa lalu.