APGF agenda utama Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APGF) akan menjadi agenda utama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN Ke-43 dan Mesyuarat Berkaitan di sini pada 16 dan 17 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat dua hari itu.

APGF merupakan satu inisiatif pembiayaan bersepadu dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia (World Bank) yang bakal menyediakan kemudahan kewangan lebih daripada USD12.5 bilion bagi membiayai kos projek sambungan grid merentas sempadan, kata PETRA dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Persidangan itu merupakan platform utama kerjasama tenaga di rantau ASEAN yang menghimpunkan Menteri-Menteri Tenaga negara anggota ASEAN, wakil rakan dialog luar ASEAN, organisasi tenaga antarabangsa, institusi kewangan pelbagai hala, pemain industri, dan pakar teknikal tenaga.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah dan mempengerusikan mesyuarat berkenaan ialah pada 2015.

Agenda lain pada mesyuarat itu ialah membincangkan pelbagai agenda strategik termasuk Pelan Tindakan Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030, yang akan menjadi pelan hala tuju tenaga serantau bagi lima tahun akan datang.

Memorandum Persefahaman (MoU) serantau berkaitan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) untuk memperkukuh kesalinghubungan tenaga, mempercepat peralihan tenaga rendah karbon, serta meningkatkan keselamatan bekalan tenaga serantau akan turut dibincangkan.

Kenyataan itu berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menerajui agenda tenaga serantau dengan menumpukan kepada pembangunan (APG) yang bukan sahaja menjamin bekalan tenaga berdaya tahan, malah penting untuk mengatasi cabaran perubahan iklim.

Malaysia turut memberi penekanan kepada kerjasama dalam pembentukan pasaran tenaga serantau dan penetapan piawaian Sijil Tenaga Boleh Baharu ASEAN.

Selain Mesyuarat AMEM ke-43, beberapa mesyuarat lain akan turut berlangsung sepanjang dua hari tersebut, termasuk:

(i) AMEM+3 bersama China, Jepun dan Korea Selatan;
(ii) East Asia Summit Energy Ministers’ Meeting (EAS EMM) ke-19;
(iii) Dialog AMEM–Amerika Syarikat; dan
(iv) Sesi bersama International Energy Agency (IEA) dan International Renewable Energy Agency (IRENA).

Harapan PETRA sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43, PETRA akan mengetengahkan usaha Kerajaan Malaysia dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara dan serantau.

Selaras dengan agenda Malaysia MADANI, PETRA juga berharap agar pelaburan dalam sektor tenaga bersih di ASEAN dan Malaysia dapat dipertingkatkan, selaras dengan aspirasi negara untuk membina ekosistem hijau yang berdaya saing di peringkat global.