Bahasa lambang perpaduan bangsa

KUCHING: Penguasaan bahasa yang kukuh dianggap kunci utama dalam membentuk generasi muda Sarawak yang mampu bersaing di peringkat global dan mengekalkan jati diri kebangsaan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris masing-masing memainkan peranan penting iaitu sebagai lambang perpaduan bangsa dan sebagai bahasa ilmu serta komunikasi antarabangsa.

“Kedua-dua bahasa itu perlu dikuasai secara seimbang agar pelajar bukan sahaja fasih bertutur, tetapi juga bijak berhujah, berfikir secara kritikal dan berkomunikasi dengan yakin dalam pelbagai situasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Pertandingan Debat Piala Premier Sarawak 2025 di Auditorium CENTEXS Kuching, hari ini.

Jelasnya, pertandingan debat menjadi wadah berkesan melatih pelajar mengasah kemahiran berfikir dan menyampaikan hujah dengan beradab, sekali gus membentuk pemimpin muda yang berwawasan.

Acara anjuran MEITD dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu menghimpunkan pelajar sekolah menengah seluruh negeri dalam dua kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai usaha memperkukuh kecemerlangan dwibahasa dalam kalangan generasi muda.