KUCHING: Program Hari Keluarga Melanau mampu membantu mengeratkan hubungan komuniti di samping mengembalikan nostalgia dalam kalangan mereka.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata penganjuran program seumpamanya dapat mengukuhkan ukhuwah masyarakat berkenaan yang tinggal di bandar raya ini.
“Kita sedia maklum bahawa masyarakat Melanau mempunyai banyak dialek kerana datang dari daerah-daerah yang berbeza seperti Rajang, Matu, Daro, Dalat, Sibu, Mukah, Balingian, Tatau dan Bintulu.
“Melalui aktiviti ini juga ia boleh menggamit kembali nostalgia mereka yang lama tidak berjumpa,” katanya semasa merasmikan Hari Keluarga Melanau anjuran Persatuan Melanau Kuching dan Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Len Talif menasihat kaum Melanau agar harus berani dan mengikis sikap malu.
“Kalau dulu kalangan kaum Melanau yang tinggal di bandar-bandar besar malu untuk bertutur bahasa Melanau. Penyakit ‘inferiority complex’ ini berlaku akibat ramai dalam kalangan masyarakat kita segan apabila berada dalam kelompok masyarakat lain yang telah maju dan berjaya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, hari ini penutur Melanau tidak lagi segan bercakap dalam kalangan Melanau di khalayak ramai.
Beliau turut menyentuh kemajuan bahasa dan makanan tradisional Melanau yang semakin mendapat tempat termasuk projek bahasa Melanau Mukah yang disokong FireFox Web serta makanan seperti umai, linut, tebaloi, pipuh dan saguk yang kini menembusi pasaran luar.
Beliau memuji kerjasama erat antara Persatuan Melanau Kuching (PMK) dan Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak (LAKKMS) yang diibaratkannya seperti “isi dan kuku”, penting dalam membangunkan masyarakat Melanau di bandar besar.
Mengenai keahlian persatuan, beliau berkata, keahlian persatuan masih rendah tidak sampai 2,000 orang.
Di Kuching katanya, terdapat lebih kurang 12,000 orang Melanau termasuk Melanau kacukan, dari pelbagai dialek tetapi kurang berminat untuk menjadi ahli.
“Persatuan ini merupakan platform untuk kita bertukar idea, fikiran dan ilmu untuk membantu memaju sesama kaum,” katanya.
