Bangunan baharu PDK Daro sediakan persekitaran selesa

DARO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis perasmian bangunan baharu Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Daro, hari ini.

Ini jelas membuktikan komitmen kerajaan memperkasa program pemulihan dan kebajikan bagi mereka yang memerlukan. 

Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi kenyataannya memberitahu, bangunan baharu itu menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan serba lengkap untuk individu berkeperluan khas di daerah ini. 

Dengan keluasan kira-kira 1,297 meter (m) persegi, bangunan itu dibina oleh kontraktor AHZA KERJA AM dengan kos RM1.1 juta. 

PDK yang memulakan pembinaan bangunan baharu itu pada 16 April 2024 dan siap 21 Februari lalu, berperanan penting menyediakan perkhidmatan pemulihan dan sokongan kepada orang kelainan upaya (OKU) di kawasan itu. 

“Dengan adanya bangunan baharu itu, program PDK dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemulihan serta penjagaan individu berkeperluan khas,” kata kenyataan itu.

Bangunan baharu itu dilengkapi dengan bilik aktiviti, pejabat, dan kemudahan sokongan lain.

Selain itu, projek tersebut merangkumi kerja-kerja kejuruteraan awam seperti sistem perparitan, pagar, jalan raya, serta kerja-kerja elektrik dan mekanikal.