Banyak program berlangsung di Sarawak

KUCHING: Kementerian Luar Negeri Pejabat Wilayah Sarawak merancang untuk membawa lebih banyak program ke negeri ini.

Pengarahnya, Duta Fenny Nuli berkata, antara perancangan adalah menjadikan Sarawak tuan rumah kepada salah satu mesyuarat penting ASEAN pada tahun hadapan.

“Selain itu, membawa kunjungan-kunjungan hormat Duta-Duta Asing ke Sarawak dan pelbagai rancangan telah dibincangkan bakal diperhalusi lagi bersama dengan pegawai-pegawai di kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Tambahnya, kunjungan hormat itu juga bertujuan mendapatkan persetujuan daripada Premier Sarawak mengenai perancangan tersebut.

Duta Fenny menambah Kementerian Luar Negeri akan menjalankan peranan secara lebih aktif sepanjang beliau menjadi Pengarah selaras dengan perkembangan dan pencapaian Kerajaan Sarawak.