Belanjawan 2024: Bajet besar, bukti kebolehan Kerajaan GPS

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2024 berjumlah RM12.363 bilion sekali lagi membuktikan kesungguhan Premier Sarawak dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membina sebuah negeri yang stabil, maju dan makmur serta menjamin masa depan generasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, Belanjawan 2024 yang dibentangkan Premeir Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah terbesar dan mencatat lebihan.

“Kejayaan membentangkan bajet sebesar itu membuktikan kebolehan Kerajaan GPS mencari sumber pendapatan baharu dan berbelanja secara berhemah,” katanya semasa membahas Bajet 2024 Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak menegaskan, dalam Bajet 2024 itu, Kerajaan GPS telah merangka lima pendekatan dalam membantu meningkatkan pendapatan isirumah menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Pertama ialah mempercepatkan pembangunan infrastruktur, kedua melabur dalam pembangunan modal insan dan keusahawanan, ketiga melabur dalam program penyelidikan dan pembangunan, keempat mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan kelima melaksanakan program sosio-ekonomi, katanya.

Beliau percaya, dengan melaksanakan strategi itu, Kerajaan GPS akan berupaya memenuhi matlamat meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Ini adalah harapan Sarawak bukan hanya mahu menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi tetapi rakyat juga berpendapatan tinggi melalui pekerjaan bergaji lumayan dan peningkatan perniagaan, tambahnya.

Beliau mengalu-alukan langkah Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada program pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM9.038 bilion bagi melaksanakan projek infrastruktur dan kemudahan di seluruh negeri ini.

Fazzrudin yang menyokong Rang-Rang Undang (Pindaan) Bekalan Elektrik, 2023 berkata, pindaan RUU itu adalah tepat pada masanya bagi menangani masalah yang menjejaskan inisiatif kerajaan menyalur bekalan elektrik luar bandar dan keperluan untuk meningkatkan penjanaan kuasa berdasarkan amalan kelestarian alam sekitar.