KUCHING: Belanjawan MADANI 2026 membabitkan peruntukan pembangunan sebanyak RM6 bilion kepada Sarawak dan RM6.9 bilion kepada Sabah diharap dapat mengurangkan jurang pembangunan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, beliau menyokong belanjawan tersebut sekali gus menerimanya secara terbuka jumlah peruntukan tersebut.
Namun beliau menekankan bahawa keutamaan kini ialah memastikan pelaksanaan projek pembangunan terbabit akan berjalan dengan berkesan.
“Dengan pelaksanaan yang baik, diharapkan jurang pembangunan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Belanjawan Malaysia MADANI 2026 di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sehubungan itu kerajaan akan memperkenalkan mekanisme pemantauan yang lebih ketat bagi memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual.
Beliau menjelaskan, perbincangan mengenai peruntukan itu kepada Sabah dan Sarawak turut melibatkan aspek Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya permintaan Sabah untuk meningkatkan pulangan hasil daripada negeri berkenaan.
“Mungkin sebab itu Sabah menerima peruntukan lebih tinggi berbanding Sarawak. Namun, jurang pembangunan juga perlu dilihat,” katanya.
Menurutnya, ini kerana Sarawak banyak menggunakan peruntukan sendiri, manakala Sabah masih memerlukan suntikan tambahan dan mereka memahami keadaan itu.