KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengadakan bengkel program “Wash Well, Waste Less” di Kampung Semera, Asajaya, di sini, semalam.
Program terbabit dalam usaha membantu suri rumah menjana pendapatan tambahan dengan menghasilkan sabun dari minyak terpakai dan dilaksanakan hasil Geran Komuniti@UniMADANI 2025 di bawah Kementerian Kewangan.
Ketua projek, Dr. Ain Nadirah Romainor dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) UNIMAS berkata, bengkel turut disertai bersama pasukan pakar kimia dan keusahawanan universiti itu.
“Melalui bengkel ini, kami ingin menunjukkan bahawa bahan buangan seperti minyak masak terpakai sebenarnya mempunyai nilai ekonomi yang boleh dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata, ia bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran, tetapi membuka peluang keusahawanan baharu kepada penduduk kampung.
Tambahnya, projek ini sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab) serta agenda MySTIE 10-10, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi.
“Pasukan pakar menyasarkan untuk memperluaskan Program “Wash Well, Waste Less yang diharap dapat diperluas ke kampung-kampung lain di
Sarawak,” katanya yang selari aspirasi UNIMAS.