Bersama bina masa depan gemilang – Awang Tengah

LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini mengajak rakyat di negeri ini supaya menjadikan sambutan Hari Sarawak sebagai satu detik untuk mengorak langkah bersama kepimpinan membina masa depan lebih gemilang.

Beliau berkata, bersama-sama pucuk kepimpinan membina Sarawak gemilang itu untuk kepentingan generasi akan datang.

Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini juga merupakan satu ruang untuk rakyat Sarawak mengenang jasa para pemimpin terdahulu yang telah meletak asas kepada kewujudan Sarawak hari ini, katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di sini, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 50 pertubuhan dan persatuan menerima MRP berjumlah RM300,000. Turut menerima sumbangan ialah 63 pelajar yang akan melanjutkan pendidikan ke pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini sumbangan Pusat Khidmat PBB Bukit Sari Lawas.

Awang Tengah turut mengajak rakyat Sarawak supaya sama-sama berdoa untuk kesejahteraan, keamanan, kemakmuran dan kemajuan Sarawak selamanya.

“Ini adalah satu tarikh yang begitu penting dan masa kita mengenang sumbangan pengorbanan pemimpin terdahulu.

“Kita pertahankan dan perkasakan semangat kerjasama, perpaduan antara satu dengan yang lain walaupun kita berbeza dari segi budaya dan latar belakang,” tegas beliau.

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah berjaya membawa Sarawak ke satu tahap pembangunan yang begitu terancang,” tambahnya.

Awang Tengah dan hadirin kemudiannya bersama-sama melaungkan Selamat Hari Sarawak yang akan disambut pada 22 Julai 2025 di Miri pada tahun ini.