DARO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa banyak jambatan sedang dalam pembinaan akan siap sepenuhnya pada tahun ini.
Menurutnya, penyiapan infrastruktur asas itu membuktikan janji kerajaan sebelum ini bukan sekadar ‘air liur’ sahaja.
Ia merupakan tanggungjawab yang harus ditunaikan demi meningkatkan jaringan perhubungan dan ekonomi penduduk
“Kita bersyukur, kerana saban tahun pendapatan Sarawak semakin meningkat dan dengan pendapatan ini, kita dapat bina jambatan untuk rakyat.
“Bermula tahun ini, kita tidak lagi ada majlis pecah tanah untuk jambatan, tetapi kita akan mulai merasmikan jambatan-jambatan yang akan siap dalam tahun ini dan tahun depan, termasuk jambatan di Limbang yang akan siap pada 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Jabatan Muara Lassa Daro Bahagian Mukah di sini hari ini.
Untuk rekod, sebanyak sembilan jambatan akan siap sepenuhnya pada tahun ini iaitu Jambatan Sejingkat, Jambatan Batang Lupar 1, Jambatan Saribas 1, Jambatan Rajang, Jambatan Bintulu ke Jepak, Jambatan Kemena ke Sebauh, Jambatan Sungai Limbang, Jambatan Sungai Lingga dan Jambatan Sungai Kemena.
Manakala, lima lagi jambatan akan disiap pada tahun hadapan iaitu Jambatan Batang Lupar 2, Jambatan Saribas 2, Jambatan Krian, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Igan.
Bercakap mengenai Jambatan Muara Lassa, katanya jambatan itu menjadi bukti kukuh komitmen tidak berbelah bagi Kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur asas kepada rakyat.
Meskipun, inisiatif pembangunan yang dirancang di wilayah ini sering dipersoal malah ada yang dihentikan oleh Kerajaan Persekutuan, perkara ini tidak memutuskan usaha Kerajaan Sarawak untuk memenuhi keperluan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
“Kalau dahulu, kita tidak dapat membayangkan bahawa Sarawak dapat membina jambatan yang panjang seperti di Muara Lassa dan Batang Lupar.
“Kerajaan Sarawak telah membelanjakan hampir RM5.6 bilion untuk membina jambatan. Ini belum termasuk jalan raya yang berharga lebih RM5 bilion menjadikan keseluruhannya lebih RM10 bilion.
“Kesemua projek ini dibiayai sendiri oleh Kerajaan Sarawak, sekali gus mengurangkan kebergantungan kita kepada Putrajaya untuk membangunkan Sarawak,” jelas Abang Johari.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, ADUN Daro Safiee Ahmad, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Abd Yusuf Wahab dan tetamu kenamaan lain.