Bina semula, Dewan Datuk Patinggi Ali dilengkapi kemudahan moden

GEDONG: Dewan Datuk Patinggi Ali di sini, akan dibina semula dan dilengkapi dengan fasiliti moden dengan menjadikan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sebagai model.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tender bagi projek itu akan dibuka pada Januari 2024 dan dijangka siap 18 bulan.

‘’Dewan tersebut bakal dilengkapi alatan moden seperti pendingin hawa serta ruang pameran. Ia akan diroboh dan dibangun kembali.

“Kita telah memutuskan akan meroboh dewan itu dan kita bangunkan dewan baharu yang “small-scale” dengan bermodelkan BCCK.

“Kita ada sebuah koridor sebagai ruang pameran dan di dalamnya dewan untuk majlis keramaian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian TVS Prihatin sempena Ulang Tahun TVS Ke-3 di Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong di sini, hari ini.

Terdahulu, Abang Johari menyempurnakan acara penanaman pokok di kawasan Masjid Al-Khawtar bersama Pengerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Datuk Amar Tan Sri (Dr) Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Untuk rekod, dewan tersebut mengalami transformasi sejak 2004 di bawah inisiatif mantan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan boleh memuatkan 1,500 orang dalam satu-satu masa.