BINTULU: Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) akan turut diperkenal di bahagian ini untuk menghubungkan bandar Bintulu ke Kidurong dan Samalaju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Bintulu akan menjadi lokasi kedua ART selepas Kuching yang menerima manfaat teknologi hijau tersebut.
Ini bermakna kerajaan akan mengwujudkan tiga satelit dari Bintulu ke Kidurong dan Kidurong ke Samalaju, katanya pada majlis pembukaan rasmi Hotel Imperial Bintulu di sini, hari ini.
Beliau berkata, rangkaian pengangkutan itu akan diperkuatkan dengan pembinaan sebuah stesen kecil di Samalaju yang akan menjadi sebahagian daripada projek ART di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Premier Sarawak turut mengumumkan Kerajaan Sarawak sedang membina loji janakuasa kitaran gas berkombinasi 500 Megawatt di sini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur tenaga di kawasan berkenaan.
Sasaran kerajaan negeri, katanya, adalah untuk membekal sejumlah gigawatt kuasa elektrik menjelang tahun 2035 untuk menampung peningkatkan pelaburan dan pertambahan penduduk.
Ini adalah antara komitmen Kerajaan Negeri untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur ke Bintulu, katanya.