BPHB sumbang solar untuk masjid kurangkan kos utiliti

BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menyumbangkan sistem solar kepada Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan, di sini, semalam.

Ini sebagai sebahagian usaha menyokong penggunaan tenaga mampan selain membantu mengurangkan kos utiliti masjid dalam jangka panjang.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan, Keselamatan, Sekuriti dan Kelestarian Kumpulan BPHB, Bolhi Maskawi ketika Majlis Jalinan Kasih Ramadan dan Iftar bersama komuniti setempat.

Di majlis itu juga Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Datuk Ruslan Abdul Ghani turut menyerahkan hak milik masjid itu kepada Majlis Agama Islam Sarawak yang diwakili Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Sarawak(JAIS) Bintulu, Ustaz Muhammad Rahiman Malim.

Turut hadir Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan BPHB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh, Ketua Kaum Taman Sri Pelabuhan, Awangku Nasir Pengiran Kerta serta Pengerusi Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan, Mohd Aziman Drahman.