Cadangan kebersihan tandas syarat utama lesen premis makanan dilulus

KOTA SAMARAHAN: Aspek kebersihan tandas dicadang dijadikan antara syarat utama dalam kelulusan lesen premis makanan di bawah Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, tandas yang bersih bukan sekadar kemudahan asas, sebaliknya menggambarkan tahap ketamadunan dan nilai sivik masyarakat tempatan.

Menurutnya, budaya menjaga kebersihan perlu diterapkan dalam semua peringkat masyarakat kerana tandas yang bersih menjadi simbol disiplin, tanggungjawab serta keprihatinan terhadap keselesaan awam.

“Mulai tahun 2026, saya mencadangkan agar kebersihan tandas diwajibkan sebagai salah satu syarat kelulusan lesen untuk kedai makan dan premis perniagaan. Jika premis tidak menyediakan tandas bersih dan selamat digunakan, lesen tidak seharusnya diluluskan,” katanya
berucap dalam satu majlis anjuran MPKS hari ini.

Hamzah berkata, kebersihan tandas awam dan komersial sering menjadi ‘cermin pertama’ dalam menilai imej sesebuah kawasan.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan agar mengambil langkah tegas terhadap mana-mana premis yang mengabaikan tanggungjawab tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif MPKS menganjurkan Pertandingan Tandas Awam Bersih, Menawan dan Wangi (BMW), yang menurutnya mampu menyemai kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.

Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Kuap dinobatkan sebagai johan kategori sekolah rendah hasil kerjasama guru serta kakitangan sekolah yang memantau kebersihan tandas setiap jam, sekali gus menjadi contoh amalan terbaik yang wajar dicontohi premis lain.