LAWAS: Kontraktor yang lewat menyiapkan projek kerajaan di sini disyor akan ditamat dan diganti dengan kontraktor lain.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini sekiranya kontraktor berkenaan tidak ada perancangan mengatasi kelewatan itu.
“Kalau ada kontraktor yang terlalu liat..dan lewat serta kontraktor itu nampak tidak ada pelan mengejar masa yang tertinggal maka kita syorkan supaya mereka ini dihentikan dan kita cari kontraktor lain,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat pemantauan projek-projek pembangunan di Lawas, di sini.
Awang Tengah berkata, ketika ini sejumlah 262 projek telah dirancang dan dilaksana bagi daerah Lawas membabitkan kos sebanyak RM906 juta di bawah pelbagai jabatan mahupun agensi.
Katanya, belum ada projek daripada Kerajaan Persekutuan atau negeri yang ditarik balik kerana masalah kegagalan kontraktor dan
mengarahkan agensi pelaksana memantau pelaksanaan projek ini.
Mesyuarat pemantauan projek itu turut dihadiri Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa.