KUCHING: Berdasarkan kejayaan setakat suku keempat 2023 yang merekodkan 78.8 peratus capaian internet, Sarawak berada di landasan mencapai liputan 100 peratus internet menjelang 2030, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau berkata, antara sasaran utama di bawah Kluster Transformasi Digital (KTD) adalah penyediaan capaian internet kepada 99 peratus isi rumah di Sarawak serta penyediaan perkhidmatan atas talian bagi semua perkhidmatan kerajaan sepenuhnya.
“Transformasi Digital akan memperluas dan memperkasakan infrastruktur digital bagi menyokong matlamat Kerajaan Sarawak mencapai status wilayah maju dan berpendapatan tinggi pada 2030 berpandukan teknologi digital,” katanya sempena Takliamt Pelaksanaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Baharu Sarawak di sini.
Julaihi menegaskan, Halatuju Ekonomi Digital Sarawak 2030 merupakan strategi komprehensif yang disusun bagi menyokong teras kemajuan dalam inisiatif Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.
Selaras dengan sasaran PCDS 2030 Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mensasarkan liputan penuh perkhidmatan utiliti termasuk perkhidmatan telekomunikasi, tegas beliau.
Sambil mengalu-alukan pelaksanaan 23 PEDi baharu di Sarawak di bawah program Universal Service Provision (USP) yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCM), beliau berkata, Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha peluasan insiatif PEDi yang dilaksanakan MCMC.
“PEDi adalah antara pemboleh yang penting kepada pelan strategi PCDS 2030 dan Halatuju Ekonomi Digital Sarawak 2030 dalam usaha melengkapkan rakyat dengan kemahiran dan pengetahuan digital, di dalam kita mengharungi era perkembangan teknologi maklumat dan ekonomi digital,” katanya.
Julaihi turut mengesyorkan agar perkhidmatan atau aplikasi digital Kerajaan Sarawak seperti ‘Service Sarawak’, ‘Spay Global’ dan yang akan datang “SarawakPass” dapat diterapkan penggunaannya di PEDi bersesuaian dengan matlamat Kerajaan bagi mencapai ekosistem digital yang berkembang maju di Sarawak.
Di Sarawak, tambahnya, kini terdapat sejumlah 45 Pusat Komuniti Digital (DCC) dan hab inovasi yang mempunyai persamaan dari segi peranan dan objektifnya dengan PEDi.