CATH Lab disediakan di Hospital Bintulu rawat pesakit jantung

KUCHING: Makmal Kateterisasi Jantung (CATH Lab) yang mampu merawat lebih kurang 90 peratus kes pesakit jantung lebih rumit kini disediakan di Hospital Bintulu.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, Unit radiologi Hospital Bintulu dinaik taraf menjadi CATH Lab kerana sebelum ini kira-kira 250 pesakit dari Bintulu perlu ke
bandar raya ini setiap tahun bagi mendapatkan rawatan.

“CATH Lab ini dapat memberikan penyelesaian yang lebih dekat dan cepat kepada pesakit di Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis menandatangani Perkongsian Strategik antara Public Medicare Group (PMG) dan Ikhlas Capital di Hotel Sheraton, di sini hari ini.

Dr Sim berkata, CATH Lab disediakan dengan peruntukan dana yang ada dan mungkin tidak sebesar Pusat Jantung Sarawak, tetapi pusat mini jantung terbabit mampu menangani sebahagian besar kes dan berjaya menyediakan rawatan berkualiti.

‘’Diharapkan, pusat ini dapat diperluaskan ke lokasi lain di Sarawak pada masa hadapan,’’ katanya.