CIMB berminat jalin kerjasama dengan Kerajaan Sarawak

KUCHING: Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB) berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak pada masa akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Group Holdings Berhad, Dato’ Abdul Rahman Ahmad, ini bagi membantu mengembangkan ekonomi syarikat-syarikat di negeri ini.

Ketika ini CIMB mempunyai aset sebanyak RM7 bilion yang boleh digunakan untuk memberi pinjaman kepada syarikat dan individu di Sarawak.

Katanya, perbincangan telah diadakan bersama Premier Sarawak dan topik yang disentuh mengenai bagaimana CIMB dapat membantu negeri ini dalam mengembangkan ekonominya.

“Dan saya memberitahu Premier yang mana sekarang kita mempunyai aset sebanyak RM7 bilion untuk memberi pinjaman kepada syarikat dan individu di Sarawak.

“Dan kami berhasrat untuk mengembangkan lagi aset-aset atau pinjaman-pinjaman yang akan kami berikan kepada individu serta syarikat-syarikat di Sarawak,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Sejurus selepas itu, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pelabuhan Bintulu yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Sharkawi Alis.