Ciri kepimpinan wanita Sarawak semakin menyerlah – Fatimah

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menzahirkan rasa bangga atas pencapaian beberapa wanita Sarawak yang menyerlah ciri kepimpinan melintasi sempadan.

Beliau berkata, salah seroang daripadanya ialah Pengasas Forum SHE-TECH Asia, Malseni Jamal.

Malseni bermula daripada kerja perundangan kepada pucuk pimpinan ekonomi digital dan sekarang sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, katanya berucap pada Forum SHE-TECH Asia sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 di sini.

Ini adalah suatu contoh keyakinan wanita Sarawak dalam corak kepimpinan wanita yang memimpin dengan penuh berwawasan, berintegriti dan berhala tuju, katanya.

Menurut Fatimah, Datuk Zunaidah Idris, Dr. Ida Fatimawati Adi Badiozaman, Yuki Aizawa dan Dr. Ayesha Khanna, juga merupakan wanita yang menunjukkan corak kepimpinan dan semangat inovasi dan inklusif dalam SHE-TECH.

“Corak kepimpinan yang mereka tunjukkan mengingatkan kita bahawa masa depan teknologi bukan bergantung kepada digital tetapi juga kepelbagaian, empati dan insani,” katanya.

IDECS 2025, katanya, adalah transformasi digital bukan setakat perjalanan teknologi tetapi merangkumi semua lapisan masyarakat.

Perkembangan teknologi, tambahnya, terletak kepada kuasa untuk merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar, kaya dan miskin, lelaki dan wanita.

Mengikut Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menggandakan penyertaan wanita dalam tenologi boleh menambahkan KDNK global kepada €600 juta menjelang tahun 2027, tegas beliau.

Peningkatan itu mengingatkan bahawa inklusif bukan satu amal tetapi dalam bentuk ekonomi dan apabila wanita menguasai teknologi, katanya, masyarakat berinovatif lebih cepat, pencapaian syarikat bertambah baik dan negara membangun lebih kukuh.

Pencapaian mereka membuktikan corak kepimpinan wanita Sarawak di peringkat wilayah dan negeri yang kecil boleh menjadi contoh untuk masa depan digital Asia, katanya.