CSSC bakal ditubuh di tujuh bahagian – Fatimah

KUCHING: Pusat Sosial Sokongan Komuniti (CSSC) yang sudah beroperasi di bandar raya ini akan ditubuh di lokasi lain seluruh negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, CSSC merupakan projek keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan satu katalis inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Sarawak.

“CSSC turut ditubuh di Sri Aman, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Lawas,” katanya pada Mesyuarat Lembaga Penasihat CSSC Kuching di CSSC Kuching Jalan Abell, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, CSSC Kuching sejak beroperasi pada Januari 2023 telah melaksanakan aktiviti harian termasuk The Soup Kitchen yang menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari percuma kepada golongan miskin bandar, miskin tegar dan gelandangan.

Katanya, selain itu ialah Bank Makanan untuk menyediakan catuan kering dan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan dan rujukan intervensi kepada rakan strategik untuk pelbagai isu sosial yang dihadapi oleh komuniti.

Di mesyuarat itu juga, Fatimah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar ( MRP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Fasa Empat Tahun 2023 berjumlah RM46,000 kepada sembilan penerima dari bahagian Kuching bagi melaksanakan aktiviti.

Penerima terbabit ialah Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Bakat Insan Istimewa Kuching yang menerima RM6,000.

Manakala masing-masing RM5,000 kepada Persatuan Ibu Tunggal Sarawak, Persatuan Wanita India Sarawak, Persatuan Cina Muslim Sarawak, Sarawak Breast Cancer Support Group, Pertubuhan Gerontologi dan Geriatrics Sarawak, Society For Cancer Advocacy And Awareness, The Committee Of Management Of SJK Chung Hua No.1 Kuching dan Persatuan Autisme Kuching.