Curi kabel catat 21 kes

KUCHING: Sebanyak 21 kes kecurian kabel dilaporkan di sekitar di bahagian ini tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 17 kes berjaya diselesaikan melibatkan nilai kerugian sebanyak RM210,000.

“Seramai 36 suspek warga tempatan berusia dalam lingkungan 19 hingga 36 tahun ditahan dan 24 daripada kesemua suspek positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan berulang melibatkan jenayah harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Jalinan Mesra Telekom Malaysia Berhad Sarawak bersama IPD Kuching di sini, pagi tadi.

Menurut Ahsmon, kesemua suspek didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat.

Selain itu katanya, tiga daripada 28 premis barang lusuh berlesen di Kuching telah dibatalkan lesen perniagaan kerana terlibat dalam kesalahan dan didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain kata Ahsmon, sebanyak 556 kes penipuan dalam talian melibatkan kes berasingan dengan nilai kerugian sebanyak RM29 juta direkodkan tahun ini.

“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 365 kes yang dilaporkan tahun lalu dengan anggaran kerugian berjumlah RM12 juta.

‘’Sementara itu, IPD Kuching berjaya menyelesaikan sebanyak 134 kes tahun ini,” katanya.