KOTA SAMARAHAN: Pusat Pemulihan Samarahan atau Pusat Kecemerlangan Keperluan Khas (SNEC) memberi peluang kerjaya kepada golongan individu kelainan upaya (OKU) di negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, ia susulan kursus yang ditawarkan di SNEC mampu melengkapkan graduan OKU dengan pelbagai kemahiran.
“Ia dapat dibuktikan dengan seramai 696 graduan OKU berjaya dilahirkan di SNEC menerusi kursus yang ditawarkan dengan kebanyakan mereka menceburi kursus jahitan, elektronik dan komputer,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Pusat Pemulihan Samarahan @ SNEC di sini.
Sehubungan itu, kata Mohammad Razi, beliau menggalakkan agar pihak berkepentingan atau pihak swasta lain memberi peluang yang sama kepada golongan ini berdasarkan kemahiran yang mereka ada.
“Setakat ini saya boleh katakan lebih 696 graduasi atau alumni daripada program yang kita sediakan dalam kalangan OKU.
“Saya menyarankan agar lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
