Dana RM19.07 juta untuk pembangunan rumah ibadat

KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) hari ini menyerahkan dana RM19.07 juta kepada empat Ahli Parlimen dan 37 Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Sarawak bagi membiayai 107 projek pembinaan dan naik taraf rumah ibadat di seluruh negeri.

Majlis Penyerahan Cek Fasa Dua itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga menteri bertanggungjawab ke atas UNIFOR.

Beliau menjelaskan, agihan fasa kedua ini sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM90 juta bagi projek rumah ibadat di Sarawak, dengan RM35.77 juta sebelum ini memberi manfaat kepada 171 projek.

“Bantuan ini selaras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk memastikan keterangkuman sosial dan kemajuan bersama,” katanya pada majlis berkenaan, hari ini.

Beliau menekankan kepentingan perancangan teliti, di mana JKR, arkitek dan juruukur bahan dilibatkan untuk memastikan kos projek realistik dan perbelanjaan berbaloi.

“UNIFOR kini turut melaksanakan pemantauan langsung selepas beberapa kes penyalahgunaan dana, termasuk pembelian barangan di luar skop projek.

“Selain rumah ibadat, RM20 juta juga diagihkan untuk menaik taraf sekolah misi di Sarawak, manakala Douglas menyeru kerjasama semua pihak agar pengurusan dana projek berjalan lancar,” katanya.