DARO: Pejabat Pendidikan Daerah Daro mencipta sejarah tersendiri apabila julung kalinya berjaya mengadakan Majlis Konvokesyen Tahun 6 Sekolah-sekolah Zon Tanjung Alan Daro secara serentak melibatkan sembilan sekolah rendah.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menyempurnakan sidang pertama majlis konvokesyen berkenaan melibatkan seramai 134 murid menerima sijil masing-masing (sidang pertama).
Kesemuanya seramai 241 murid dari SK Camporan Daro, SK Kpg. Pangtray, SK Nangar, SK Hijrah Badong, SK Sawai, SK Passin, SK Batang Lassa, SK Ulu Daro dan SK Tebaang menyertai majlis konvokesyen berkenaan yang dibahagikan kepada dua sidang.
Ahmad Johnie ketika ditemui media berkata, idea untuk mengadakan majlis Konvokesyen secara serentak dan melibatkan semua sekolah itu memang sudah lama dirancang.
Ia bertujuan memberi motivasi dan semangat kepada para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh hingga ke universiti seperti majlis konvokesyen yang dijalankan di Dewan Masyarakat Daro ini, katanya.
“Majlis konvokesyen ini dijalankan sepertimana majlis konvokesyen sebenar di universiti untuk memberi inspirasi kepada pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh,” tegas beliau.
Menurut Ahmad Johnie, beliau ingin membuat kelainan kerana kebiasaannya penyampaian sijil Tahun 6 sebelum ini diadakan di peringkat sekolah masing-masing
Beliau berkata, adalah diharapkan dengan mengadakan Majlis Konvokesyen yang gah dan berprestij itu dengan melibatkan gabungan sembilan bsekolah akan menjadi kenangan indah buat pelajar dan ibu bapa.
Berucap pada majlis konvokesyen itu, beliau berkata, murid-murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
Modal insan negara seharusnya menerima pendidikan holistik yang seimbang antara bidang akademik dan kemahiran teknikal dan pendidik pula seharusnya berupaya menyampaikan pembelajaran dan pemudahcaraan yang efisien menerusi teknologi, tegas beliau.
“Kejayaan tidak bermakna jika anak-anak berjaya dari segi akademik tetapi tidak berjaya dalam urusan membina sahsiah dan budi pekerti yang mulia. Mengimbangi antara duniawi dan uhkrawi perlu anda pelajari dan dipraktiskan,” tambahnya.
Beliau turut menasihati pelajar yang menerima sijil pada majlis itu supaya menguasai ilmu moden seperti sains dan teknologi untuk meningkatkan daya saing di peringkat global.
“Namun, penekanan dalam aspek pembangunan sahsiah diri dan kecerdasan kerohanian juga mesti diberi keutamaan untuk menjadikan anda sebagai insan yang seimbang dan dapat memenuhi antara tuntutan dunia dan akhirat agar anda dapat mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan kecemerlangan di akhirat,” katanya.