KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi sekali lagi membangkitkan isu pendidikan semasa mengambil perbahasan pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dalam perbahasan itu, Ahmad Johnie memberi penekanan mengenai isu kekurangan guru di Sarawak, kekosongan jawatan guru besar dan pengetua yang belum diisi termasuk kawasan Parlimen Igan.
Selain itu, isu penurunan enrolmen pelajar ke aliran Sains (STEM) di Sarawak; kekurangan kemudahan bilik sains di sekolah-sekolah; isu prestasi buruk pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); isu sekolah-sekolah daif; ketiadaan bekalan elektrik dan air serta banyak lagi.
Setakat Januari 2024,Sarawak masih mengalami kekosongan guru seramai 2,478 orang.
Daripada jumlah itu, 2,200 guru sekolah rendah dan 278 guru sekolah menengah.
Sehubungan itu, Ahmad Johnie memohon supaya isu kekurangan guru yang kritikal itu dapat diatasi segera.
“Kekurangan itu adalah jumlah besar dan pasti memberi impak buruk ke atas prestasi akademik pelajar khususnya di luar bandar,”katanya membahas usul ucapan terima kasih atas titah DYMM Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di sini, baru-baru ini.
Sambil menegaskan terdapat 52 sekolah rendah yang masih tidak mempunyai guru besar dan 10 sekolah menengah masih tiada pengetua, beliau bertanya, apakah perancangan Kementerian Pendidikan untuk mengatasi masalah kekurangan guru dan memohon Menteri Pendidikan mengambil berat sekali gus memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu yang sangat kritikal.
“Oleh itu, saya ingin tahu apakah tindakan dan perancangan Kementerian untuk mengatasi masalah ini. Kalau mengikut data yang saya peroleh, guru bukan opsyen di peringkat sekolah rendah yang mengajar subjek Sains adalah (55.42%), Matematik (49.58%) dan Bahasa Inggeris (31.87%). Manakala, di sekolah menengah guru bukan opsyen yang mengajar subjek Sains adalah 28.99%,Matematik (29.74%) dan Bahasa Inggeris (13.67%).
“Ini bermaksud guru-guru yang mengajar subjek-subjek berkenaan bukanlah dari kalangan guru-guru terlatih dalam ketiga-tiga subjek berkenaan. Keadaan ini amat membimbangkan. Oleh itu, saya ingin bertanya kepada Kementerian Pendidikan mengapakah keadaan ini berlaku dan apakah perancangan dan tindakan yang akan diambil oleh pihak kementerian,” katanya.
Beliau menzahirkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan atas penempatan seramai 1,108 orang guru baharu di Sarawak pada Disember tahun lalu dengan menempatkan seramai 602 orang anak tempatan Sarawak.
Ahmad Johnnie turut menggesa supaya enrolmen pelajar dalam aliran Sains atau STEM di negeri ini dipertingkatkan untuk melahir modal insan yang mahir dengan pengetahuan teknikal dan professional demi pembangunan negara pada masa hadapan.
Untuk rekod, katanya, sejak 2017 – 2023 enrolmen pelajar ke aliran STEM cuma 30.55 peratus setahun secara puratanya dan angka itu jauh daripada sasaran 60 peratus yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, Ahmad Johnie turut membangkitkan mengenai isu dan cabaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sarawak untuk diberi perhatian sewajarnya.
Sesungguhnya, beliau berkata, JBPM adalah agensi yang sangat penting terlibat langsung dengan kerja-kerja pemadaman kebakaran, penyelamatan dan khidmat kemanusiaan termasuk keselamatan kebakaran dan penyiasatan kebakaran.
Sarawak dengan keluasan 124,450 kilometer persegi (km) merupakan satu wilayah terluas dalam Malaysia dan JBPM Sarawak memerlukan pendekatan dan strategi tertentu dalam memberi perkhidmatan yang terbaik, katanya.
Beliau memaklumkan Sarawak mempunyai 39 balai bomba yang memberi perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan 24 jam, tujuh hari seminggu.
Penempatan lokasi balai bomba adalah berdasarkan kajian ‘Fire Cover’ di samping faktor-faktor lain dan jika mengikut kajian risiko yang dibuat oleh JBPM Sarawak, Wilayah Sarawak memerlukan 60 balai bomba lagi, tegas beiau.
Manakala kalau mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tambahnya, kadar liputan perkhidmatan kebombaan dan penyelamat adalah pada kadar 44 peratus sahaja yang mewakili 36 kawasan DUN daripada 82 kawasan kesemuanya dan ini bererti masih terdapat 48 kawasan DUN yang tidak mempunyai balai bomba.
“Oleh sebab itu, saya memohon agar kerajaan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi perhatian serius atas isu ini untuk menambah balai bomba di Sarawak dalam memberi perkhidmatan yang maksimum.
“Saya memohon agar kamus (kaedah) untuk pembinaan balai bomba di Sarawak tidak harus mengguna pakai kamus di semenanjung. Kriteria pembinaan balai bomba baharu harus mengambil kira aspek geografi Sarawak yang luas,” katanya.