Dua RUU pengurusan karbon akan dibentang sidang DUN

KUCHING: Dua Rang Undang-Undang (RUU) baharu melibatkan pengurusan karbon bakal dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, bermula 20 November ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, dua undang-undang baharu itu berkaitan elektrik dan persekitaran merangkumi semua perkara melibatkan karbon.

“Undang-undang tersebut merupakan perkara baharu dan tidak pernah disentuh dalam mana-mana sistem perundangan Malaysia mahupun di Sarawak sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Persidangan Alam Sekitar Borneo (BEnConf) 2023 di sini.

Tambah Dr Hazland lagi, penggubalan undang-undang tersebut selaras usaha Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan penggunaan tenaga hijau di negeri ini sekali gus mengurangkan peningkatan suhu.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu projek solar terapung di Empangan Batang Ai sudah bermula dan mampu menjana tenaga sebanyak 50 megawatt.