Elaun, kemudahan ahli PBT, ketua masyarakat masih dalam kajian

KUCHING: Semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengubah paradigma dengan menyumbang idea baharu ke arah pembangunan bandar lestari berasaskan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan Ahli Majlis menjadi antara pelaksana utama agenda pembangunan mampan Sarawak.

“Saya berharap Ahli-Ahli Majlis PBT mempunyai minda yang luas seterusnya menyumbang kepada pembaharuan yang kita buat termasuk bandar lestari yang berteraskan ESG dan juga SDG.

“Inilah harapan saya kepada semua Ahli Majlis yang berkhidmat demi rakyat dan Sarawak,” katanya semasa merasmikan Seminar Ahli-Ahli Majlis 2025 bertemakan ‘Localization of Sustainable Development Goals (SDGs) for Sarawak Local Authorities’ di sini, hari ini.

Katanya, idea baharu yang sejajar dengan piawaian antarabangsa amat diperlukan bagi memastikan transformasi tempatan kekal relevan dalam arus pembangunan serantau.

“Kalau ini dilaksanakan, saya percaya kamu semua boleh menyumbang balik kepada pembangunan kita melalui idea baharu yang selaras dengan piawaian antarabangsa,” ujarnya.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata kajian menyeluruh melibatkan elaun serta kemudahan Ahli PBT dan ketua masyarakat dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Dedahnya, kajian tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada semakan semula kadar elaun, malah turut merangkumi aspek lain termasuk kemudahan penjagaan kesihatan.

“Apa-apa yang berkenaan kaunselor masih dalam kajian dan saya fikir enam bulan akan siap,” katanya.

Premier Sarawak menambah, kajian tersebut perlu meneliti pelbagai kaedah baharu bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan berkenaan lebih terjamin.

“Saya minta jawatankuasa apabila membuat kajian, jangan hanya meneliti semula elaun semata-mata, tetapi juga mengambil kira aspek lain termasuk kemudahan penjagaan kesihatan, seperti kos rawatan di klinik yang sepatutnya ditanggung oleh kerajaan,” ujarnya.