Empat projek RTP DUN Kabong dijangka siap 2026

KABONG: Sebanyak empat projek naik taraf kemudahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong dilakukan serah tapak bagi mula dilaksanakan dalam satu majlis semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek dibawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) terbabit merupakan komitmen kerajaan negeri.

“Ini untuk memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasa serta manfaatnya dirasai rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Secara keseluruhan sebanyak RM750,000 diperuntukkan bagi melaksanakan empat projek terbabit yang dijangka siap 2026.

Projek terbabit ialah naik taraf Dewan Terbuka Rumah Nyandang, Ulu Roban bernilai RM100,000 dilaksanakan oleh Naziranazri Enterprise yang dijangka siap 23 Februari 2026 diikuti naik taraf jalan dan jeti Kampung Sessang (RM250,000) dilaksanakan oleh Darliana Enterprise dan dijangka siap 23 Mac 2026.

Seterusnya ialah naik taraf Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Eman Nyabor ( RM200,000) oleh Kamarudin Mustapa dijangka siap 23 Februari 2026 dan pembinaan baharu jambatan di Ladang Sawit Kampung Metang Desa (RM200,000) dilaksanakan oleh Darfirazil Enterprise dijangka siap 23 Mac 2026.

Majlis serah tapak dihadiri Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Pegawai Khas ADUN N.40 Kabong, Nur Elffi Amir, serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok.