KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak untuk menjadi gas agregrator tunggal di Malaysia bertujuan mewujudkan pelbagai industri baharu dalam sektor tersebut.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak mempunyai 60 peratus rizab gas di Malaysia dalam pelbagai komponen yang boleh mengeluarkan produk lain.
Jelas beliau, industri ini sudah tentu memerlukan banyak tenaga kerja mahir.
“Kita boleh memecahkan molekul metana (CH4) untuk menghasilkan produk lain seperti metanol. Dengan memecahkan metanol, kita boleh menghasilkan ammonia. Apabila ammonia dipecahkan, ia akan menghasilkan etilena dan propilena.
“Oleh itu, Kerajaan Sarawak mahu menjadi pengagregat gas. Dengan gas ini, kita boleh mencipta industri baharu. Kita juga memerlukan tenaga kerja yang berbakat untuk memisahkan komponen gas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvokesyen Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Kesembilan di Dewan E-Sukan Dan Serbaguna CENTEXS, Santubong di sini, hari ini.
Dalam hal ini tegasnya, Sarawak memerlukan tenaga kerja yang mahir dilengkapi teknologi terkini terutamanya dalam bidang hidrogen dan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) untuk memperoleh gas sintetik dan menjana tenaga.
“Saya memerlukan individu yang boleh membantu kita dalam merealisasikan visi ini. Mereka mestilah dilengkapi dengan teknologi terkini agar kita dapat mencapai matlamat bersama demi masa depan Sarawak yang lebih maju,” jelasnya.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman serta kenamaan dan ibu bapa graduan.
Seramai 126 graduan diraikan pada hari pertama Majlis Konvokesyen CENTEXS.
Graduan yang menerima sijil pada hari ini merupakan sebahagian daripada 2,043 orang yang bakal diraikan selama tiga hari.
Seramai 1,624 graduan adalah dari Akademi Industri dan ESG (IESGA), manakala 419 graduan dari Akademi Digital dan Tenaga Hijau (DGEA).
Difahamkan, seramai 41 merupakan graduan universiti dan 1,583 merupakan lepasan sekolah dari Akademi Industri dan ESG, manakala 154 graduan universiti dan 265 lepasan sekolah dari Akademi Digital dan Tenaga Hijau.
CENTEXS juga akan menyampaikan 52 Anugerah Pelajar Terbaik kepada pelajar cemerlang dari kedua-dua akademi untuk mengiktiraf pelajar yang mempunyai kualiti kepimpinan, komitmen tinggi, berperibadi mulia, serta mencapai keputusan akademik cemerlang.