BANGKOK: Jaguh muaythai dari Sarawak, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sekali lagi menggegarkan pentas ONE Championship apabila berjaya menumbangkan pencabarnya dari Mexico, Edgar Tabares dalam pertembungan berlangsung di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand pagi tadi.
Perlawanan yang sepatutnya sengit bertukar suram apabila Johan Ghazali atau Jojo (16 tahun) hanya mengambil masa 36 saat untuk menundukkan Tabares (29) yang juga juara Muay Thai Antarabangsa WBC dengan pukulan KO.
Bagi petinju muaythai, mereka sangat waspada dengan kepantasan dan kepaduan peninju Jojo yang telah menumbangkan ramai lawannya tanpa mengira saiz mahupun usia dalam masa yang singkat.
Pada 8 Oktober lepas, beliau menumbangkan pencabar dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev juga dengan pukulan KO dalam pusingan kedua sekali gus memenangi kontrak ONE Championship bernilai lebih RM473,507 (AS$100,000).
Rekod terpantas beliau sebelum ini adalah menundukkan jaguh Thailand, Padetsuk Fairtex secara KO dalam pertarungan Flyweight Muay Thai dalam masa 16 saat sahaja.
