SARATOK: Pendidikan masa kini tidak lagi dinilai hanya dari sudut akademik semata-mata, sebaliknya memerlukan pengukuran secara holistik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, ia merangkumi kokurikulum, sahsiah dan disiplin bagi melahirkan generasi berkualiti yang mampu bersaing di persada global.
“Prestasi anak-anak bukan hanya diukur melalui keputusan akademik. Sebaliknya, mereka juga perlu cemerlang dalam sahsiah, kokurikulum dan disiplin dalam usaha melahirkan insan terdidik dan berdaya saing di pentas global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Sukan dan Kokurikulum Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025 di Dataran Ilmu Kolej Tingkatan Enam Saratok, hari ini.
Mohamad Duri berkata, usaha memperkukuh pembangunan pendidikan tidak hanya bergantung kepada sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama erat di antara guru, ibu bapa dan komuniti.
“Rumah ialah sekolah sepanjang hayat. Hubungan sekolah dan komuniti perlu berjalan seiring demi membentuk ekosistem pendidikan yang kukuh dan kalis masa depan,” katanya.
Beliau sehubungan itu merakamkan penghargaan kepada guru dan warga pendidik yang menjadi tulang belakang dalam melahirkan modal insan berkualiti.