KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) menjadi lambang kejayaan Sarawak membina ekosistem inovasi yang kukuh dalam memacu agenda digital dan hijau di wilayah ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kemajuan dalam bidang ini tidak boleh dicapai secara bersendirian, sebaliknya adalah hasil daripada usaha bersama pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri, komuniti, akademia dan rakan strategik antarabangsa.
Ujarnya, apabila Sarawak memulakan langkah ke arah masa depan berteraskan kemajuan digital dan hijau, kerajaan negeri sedar bahawa kemajuan bukan usaha solo, sebaliknya adalah kerjasama global.
“Hari ini membuktikan bahawa apabila cita-cita digital bertemu inovasi hijau, hasilnya ialah kemajuan yang memberi manfaat bersama,” katanya pada Majlis Makan Malam IDECS25 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, malam tadi.
Julaihi yang juga Menteri Bertanggungjawab IDECS25, menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan dan visi strategik Premier Sarawak yang berjaya mengangkat persidangan tersebut sebagai platform berprestij untuk menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, penyelidik dan inovator dari dalam serta luar negara.
Menurutnya, bermula sebagai sebuah persidangan berskala kecil, IDECS kini memasuki edisi kelapan dengan penyertaan peserta dari seluruh Malaysia, rantau ASEAN serta peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan bahawa aspirasi digital dan hijau Sarawak telah mendapat pengiktirafan di peringkat global.
“Apa yang kita saksikan hari ini adalah hasil daripada ekosistem yang kukuh, berlandaskan perpaduan sektor awam, swasta, akademia, serta bakat tempatan yang bersatu dengan kepakaran antarabangsa,” jelasnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ekonomi Digital Sarawak 2025, yang mengiktiraf pencapaian anak Sarawak dalam tujuh kategori kecemerlangan digital, dengan setiap pemenang membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil.
Ia termasuk Anugerah Ekonomi Digital Premier iaitu anugerah eksklusif yang mengiktiraf pencapaian paling cemerlang, dengan penerima bakal mewakili Sarawak ke Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) di Barcelona, Sepanyol pada 2 hingga 5 Mac 2026, dengan segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya.
IDECS25, anjuran Kerajaan Sarawak melalui SDEC, Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan SAINS, dengan sokongan strategik daripada Bioeconomy Corporation telah berjaya menghimpunkan lebih 10,000 delegasi, 129 penceramah, 204 ruang pameran serta hampir 40 penaja.
Persidangan selama dua hari yang bermula pada 22 Oktober dan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu mengangkat tema ‘AI & Evolusi Hijau: Pertumbuhan, Cabaran dan Ketahanan Komuniti’, sekali gus memperkukuh peranan Sarawak sebagai peneraju utama dalam transformasi digital dan kelestarian hijau di rantau ini.