KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS25) Kelapan membuka tirai di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Persidangan dua hari ini dianjurkan Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan kerjasama Sarawak Multimedia Authority (SMA)dan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) serta Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai rakan strategik.
“IDECS25 menjadi pentas bagi Sarawak memperlihatkan bagaimana Kecerdasan Buatan (AI) dan kelestarian dapat digerakkan bersama untuk memacu kemajuan yang inklusif dan bermakna,” menurut kenyataan media IDECS25.
Dengan penyertaan lebih 10,000 delegasi, 129 penceramah, 204 pameran, dan 40 penaja, acara ini menegaskan peranan Sarawak sebagai peneraju baharu dalam membentuk ekonomi digital dan hijau di rantau Asia Tenggara.
Sementara itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa kemajuan negeri ini menegaskan bahawa kemajuan negeri ini sentiasa dipandu oleh tanggungjawab serta nilai kemanusiaan, dan diimbangi dengan kebijaksanaan serta halatuju yang jelas.
“Dalam menyambut evolusi AI dan teknologi hijau, cabaran Sarawak bukan sekadar untuk berkembang lebih pantas, tetapi berkembang dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam ucaptamanya.
Katanya, ini dengan membina teknologi yang memperkukuh komuniti, memelihara alam sekitar, dan memperkasa setiap rakyat Sarawak.
“Kita boleh membina sistem yang berfikir lebih pantas, tetapi sistem itu juga mesti berkhidmat dengan lebih bijak,” tambahnya.
Premier juga mengulangi komitmen Sarawak sebagai peneraju aktif dalam membina ekonomi baharu, dipacu oleh kemajuan dalam bidang ketersambungan digital, peralihan teknologi hijau, serta pembangunan modal insan.