SIBU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, institusi fatwa yang kuat dan berwibawa akan memastikan umat Islam di negeri ini mendapat panduan yang tepat, sahih dan sesuai dengan keperluan semasa.
“Fatwa bukan sahaja memberi jawapan kepada persoalan hukum, tetapi menjadi jambatan yang menghubungkan dalil syariah dengan realiti masyarakat yang unik di Sarawak,” katanya semasa merasmikan Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 2025 di sini hari ini.
Dalam memperincikan tema “Fatwa Berautoriti Ummah Lestari”, katanya, perbincangan perlu dilihat secara luas dan konseptual agar mesej yang ingin disampaikan benar-benar difahami dalam konteks pembangunan ummah yang seimbang antara keilmuan, kerohanian dan kemanusiaan.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi kemakmuran Sarawak yang menekankan perpaduan, kesejahteraan serta pembangunan yang inklusif dan berteraskan nilai Islam, demi membentuk masyarakat yang harmoni dan berilmu,” jelasnya.
Beliau menegaskan, fatwa berautoriti adalah benteng yang dapat menghalang fahaman sesat dan pengaruh merosakkan akidah.
Katanya, fatwa hendaklah difahami sebagai panduan yang merangkumi dan meresapi setiap aspek kehidupan manusia sejajar dengan konsep dan semangat Islam sebagai Ad-Deen iaitu satu sistem kehidupan yang lengkap meliputi dimensi duniawi dan ukhrawi.
“Oleh itu, fatwa yang berautoriti tidak seharusnya terbatas kepada perbahasan hukum-hakam terkait solat atau jenis air mutlak semata-mata.
“Sebaliknya, ia mesti tampil sebagai rujukan menyeluruh yang mampu menjawab persoalan besar dalam kehidupan manusia termasuk bidang ekonomi, perubatan, pendidikan, sains, teknologi, industri makanan serta hal-hal berkaitan kesejahteraan fizikal dan rohani insan,” katanya.
Beliau berharap Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 2025 menjadi pemangkin kepada pengukuhan institusi fatwa negeri serta memacu umat Islam ke arah kesejahteraan dan keberkatan.
Turut hadir isterinya,Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin dan Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce.