MUKAH: Kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu dijadikan budaya nasional yang diterap dalam diri setiap rakyat Malaysia bagi memelihara keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib berkata, dalam konteks Sarawak, budaya kesiapsiagaan ini amat penting kerana negeri ini mempunyai bentuk muka bumi mencabar serta berdepan risiko bencana.
“Kesiapsiagaan bukan hanya tugas ketika krisis, tetapi perlu menjadi budaya nasional yang dipupuk dalam diri setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sarawak yang mempunyai geografi mencabar serta berdepan risiko bencana seperti banjir, tanah runtuh, ribut petir dan kebakaran hutan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Pangkat, Pingat dan Reben Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak Tahun 2025, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Mukah turut mengajak masyarakat luar bandar untuk turut serta dalam aktiviti pertahanan awam bagi mempercepat tindakan awal sekiranya berlaku kecemasan.
“Apabila komuniti sendiri menjadi sebahagian daripada APM, bantuan awal dapat diberikan sebelum pasukan bantuan tiba. Ini amat penting di kawasan pedalaman seperti Oya dan Dalat,” tambahnya.
Hanifah dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada APM Sarawak atas peranan penting mereka sebagai benteng keselamatan rakyat dan barisan hadapan dalam menghadapi pelbagai kecemasan dan bencana di negeri ini.
Pada majlis itu, seramai 166 pegawai dan anggota APM Sarawak menerima watikah kehormat, pangkat, pingat dan reben sebagai pengiktirafan atas khidmat cemerlang mereka dalam menjaga keselamatan rakyat serta kesejahteraan komuniti.
Antara anugerah yang disampaikan termasuk Pingat Pahlawan (PPj), Pingat Setia Pertahanan (PSP), Pingat Anugerah Perkhidmatan (PAP) dan Pingat Perkhidmatan Pertahanan (PPP).
Majlis turut melibatkan penyertaan anggota dan pegawai dari pelbagai bahagian serta daerah di seluruh Sarawak termasuk Mukah, Kapit, Bintulu, Miri, Meradong, Daro, Selangau, Sibu, Betong, Spaoh, Dalat, Saratok, Song, Sarikei, Julau, Kanowit, Pakan dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).