KUCHING: Jalan Santubong di sini akan dinaik taraf kepada dua lorong bagi memperkukuh jaringan jalan raya sekali gus merangsang pembangunan pelancongan di kawasan tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut akan dilaksanakan dalam tiga fasa merangkumi jajaran dari Wisma Adenan Satem hingga ke Damai.
“Jalan Santubong pada masa ini hanya satu lorong. Oleh itu, kerajaan negeri akan membesarkannya menjadi dua lorong seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Kuching ke Santubong.
“Jadi saya minta adik kakak kita bersabar kerana pembinaan banyak,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian pembukaan Santubong Archaeological Park & Wallace Centre di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, fasa pertama projek melibatkan jajaran dari Wisma Adenan hingga ke jambatan Santubong, diikuti pembinaan jambatan kedua Santubong bagi fasa kedua, manakala fasa ketiga membabitkan laluan dari jambatan berkenaan hingga ke Damai.
Katanya, ketiga-tiga fasa ini berkemungkinan dilaksanakan secara serentak dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Ia akan menyediakan akses yang lebih tersusun dan sistematik ke kawasan Santubong, sekali gus menjadikannya pusat tumpuan pelancong serta pengkaji sejarah dan tamadun budaya Sarawak,” katanya.
Premier turut merasmikan Santubong Archaeological Park dan Wallace Centre yang menyaksikan sebanyak tiga galeri dibuka serentak iaitu Tapak Arkeologi dan Galeri Sungai Jaong, Tapak Arkeologi dan Galeri Bongkissam dan Bukit Maras, serta Wallace Centre yang berada di dalam Kampung Santubong.
Abang Johari turut melancarkan “Buku Warisan Arkeologi Santubong”, yang diterbitkan Jabatan Muzium Sarawak (JMS) khas sempena perasmian “Santubong Archaeological Park dan Wallace Centre” serta menyampaikannya kepada beberapa sekolah dan institusi pengajian terpilih.
Antara yang menerima termasuk Sekolah Kebangsaan Santubong, Sekolah Kebangsaan Buntal, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Buntal, Sekolah Menengah Kebangsaan Santubong, Sekolah Seni Malaysia Sarawak serta Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEX) Santubong.